PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan keluar dari blok kerajaan perpaduan untuk menjadi kuasa ketiga.
Beliau memuat naik keputusannya itu menerusi platform X.
Syed Saddiq mengaitkan keputusan itu kepada kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 pertuduhan rasuah Isnin lalu.
Jabatan Peguam Negara tegas menolak dakwaan wujud sebarang campur tangan politik dalam keputusannya memohon prosiding kes mahkamah Datuk Seri Ahmad Zahid diberhentikan dan siasatan lanjut dijalankan terhadap beberapa perkembangan baharu.
Diminta mengulas tindakan Syed Saddiq, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata adalah tidak wajar Presiden Parti Muda itu bertindak balas menggunakan kerusi parlimennya.
“Saya ingin mengingatkan Syed Saddiq beliau menang (kerusi Parlimen Muar) adalah disebabkan wujudnya persefahaman dengan Pakatan Harapan.
“Beliau tidak memenangi kerusi itu atas meritnya sendiri, beliau menang sebab adanya persefahaman pilihan raya dengan Pakatan Harapan,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan Parti DAP 2023 di sini hari ini.