JOHOR BAHRU: Kesibukan membantu serta menghadiri majlis pernikahan keluarga, tidak menghalang sepasang suami isteri dari Skudai Kiri, di sini, melaksanakan hak sebagai pengundi.
Pasangan penjawat awam, Fauzi Rahman, 42, dan isterinya, Siti Nur Sapinah Mohamad, 42, yang sedondon mengenakan baju Melayu dan kurung putih itu, hadir menjalankan tanggungjawab mereka di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Pengkalan Rinting, jam 8.15 pagi tadi.
Pasangan berkenaan turut mendapat perhatian petugas serta pengundi lain yang menyangka mereka adalah pasangan pengantin yang bakal menikah, pagi ini.
Fauzi berkata, beliau dan isterinya tidak mahu terlepas mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, walaupun terpaksa bergegas bagi menghadiri majlis pernikahan adiknya pagi ini.
“Saya dan isteri sudah bersiap sejak selepas Subuh tadi bagi memastikan kami tidak terlepas melaksanakan tanggungjawab.
“Sebaik sahaja kami selesai mengundi di sini, kami akan terus ke lokasi majlis pernikahan adik di Danga,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Siti Nur Sapinah berkata, beliau dan suami tidak menyangka kehadiran mereka berpakaian ala pengantin menarik perhatian pengundi dan petugas di Pusat Mengundi SK Pengkalan Rinting.
Katanya, ada yang menegur dan bertanya, sama ada mereka akan bernikah selepas mengundi.
“Saya dan suami hanya tersenyum dan menjelaskan kami hanya mahu menghadiri pernikahan ahli keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Nur Sapinah mengajak pengundi terutama golongan muda keluar beramai-ramai bagi melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka pada negara.
“Proses pengundian kami berjalan lancar walaupun ramai yang beratur di saluran namun selesai dalam tempoh kurang 15 minit.
“Kami yang sibuk pun sempat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi. Jangan sia-siakan hak kita untuk memilih pemimpin yang kita mahu,” katanya.