comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Status terkini kerajaan GRS-BN, akhirnya sanggah spekulasi bubar DUN Sabah – Bung

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah sudah dimaklumkan lebih awal dan menyambut baik keputusan rakan sekutunya Gabungan Rakyat Bersatu Sabah (GRS) untuk tidak lagi bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta mengekalkan kedudukan Kerajaan Negeri Sabah yang ditunjangi GRS-BN.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kedudukan itu sekaligus menyanggah dakwaan pihak tidak bertanggungjawab mengenai spekulasi retorik pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sekali lagi.

Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah turut menyifatkan langkah itu tepat dan sesuai pada masanya untuk menyelaraskan struktur kepimpinan dan wakil rakyat mereka.

“Pada saya ini adalah langkah ataupun keputusan yang baik difikirkan pemimpin-pemimpin BERSATU Sabah ketika ini iaitu untuk keluar BERSATU memandangkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah ditubuhkan atas nama Kerajaan Perpaduan.

“Jadi saya faham matlamat GRS itu pemimpin BERSATU keluar mereka telah menyertai Kerajaan Perpaduan ini sudah tentu tidak manis di Sabah mewakili bersatu tetapi peringkat persekutuan mereka tidak bersama-sama,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, kerajaan GRS-BN perlu menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dan tidak perlu lagi bertengkar dalam berdepan pelbagai andaian atau bermacam-macam retorik politik.

“GRS-BN perlu memfokus untuk membangun negeri Sabah dan rakyat kita ada masa yang singkat hampir-hampir tiga tahun untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang nanti.

“Sudah tentu pada saya masa yang singkat itu kita lunaskan untuk membagnun negeri Sabah dan membantu rakyat. Tidak perlu dibubarkan dan ianya akan menyusahkan rakyat,” katanya lagi.

Mengulangi komitmen hubungan GRS-BN, harapan Bung agar Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dan negeri akan dapat bekerjasama terus untuk memastikan limpahan pembangunan terus ke Sabah.

“Kita juga akan memastikan bahawa apa juga yang direncanakan untuk membangunkan Sabah itu akan disokong sepenuhnya untuk memastikan Sabah akan terus membangun bersama wilayah-wilayah yang lain,” katanya.

Bercakap mengenai hubungannya dengan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor kekal erat menerusi beberapa siri pertemuan sebelum ini dan akan berhubung antara satu sama lain berhubung komitmen dan kedudukan GRS-BN terkini dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai nasib Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiande pula Bung berpendapat Ronald akan kekal sebagai wakil tunggal ahli BERSATU di Sabah dan mengambil alih tampuk kepimpinan BERSATU di negeri itu.

Ronald bertanding dan menang di kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) atas tiket Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini dan satu-satunya wakil PN di Sabah yang juga ahli GRS tidak setuju dengan pembahagian kerusi GRS-BN ketika itu.

Bagaimanapun, Ronald yang juga Naib Pengerusi Bersatu belum menyatakan pendiriannya mengenai keputusan BERSATU Sabah yang sebulat suara keluar parti pagi tadi.

GRS dibentuk secara tidak rasmi melalui kerjasama PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi menghadapi PRN-16 lalu sebelum berjaya membentuk kerajaan selepas menewaskan Parti Warisan (WARISAN) yang bergabung bersama Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ketika itu.

Terdahulu Hajiji yang juga Ketua Menteri dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah dalam satu kenyataan pagi tadi memutuskan keluar BERSATU selepas mereka menyertai Kerajaan Perpaduan menerusi GRS bersama Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan WARISAN.

Keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah bersandarkan kepada kedudukan kerajaan negeri ditunjangi GRS – BN yang mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada PRU-15, GRS menang di enam kerusi Parlimen, dua pemimpinnya, masing-masing menteri dan timbalan menteri juga dinamakan mewakili Kabinet yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Manakala 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU Sabah termasuk dua ADUN dilantik kini menjadi ahli langsung GRS di dalam DUN.

Loading...
Terkini