KUANTAN: Status Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan diketahui dalam masa terdekat selepas Belanjawan Pahang 2023 diluluskan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau menjelaskan, belum ada keputusan muktamad berhubung tarikh pembubaran DUN Pahang, setakat ini.
“Kita hendak belanjawan yang dibentangkan pada persidangan DUN Pahang diluluskan terlebih dahulu. Ia penting untuk rakyat. Kita hendak mendapat keputusan supaya kerajaan negeri boleh berbelanja untuk diberikan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan banjir oleh PETRONAS di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Selasa lalu, Wan Rosdy dilaporkan masih menunggu tarikh untuk menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk memohon perkenan membubarkan DUN Pahang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), BN kekal menerajui Pahang selepas memenangi 25 daripada 42 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) meraih sembilan kerusi dan PAS pula lapan kerusi. – BERITA HARIAN