Oleh: Syafiqah Damanhuri
KLUANG: Sokongan Kerajaan Perpaduan akan menjadi kekuatan kepada Calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerjasama parti komponen itu penting dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Pada saya, saya nampak pada mula saya datang hantar calon ke pusat penamaan calon saya nampak kerjasama antara PKR Amanah DAP BN saya nampak kita semua ini slowly mempunyai satu kesefahaman yang bagus.
“Jadi kalau ada titik masalah yang biasa itu adalah asam garam politik. Kita kena adjust.
“Apa yang penting adalah apa yang kita buat ini kita nak satu kerajaan yang kukuh supaya negara ini dapat terus membangun dan mendapat manfaatnya kepada semua rakyat tidak kira ideologi politik berbeza,” katanya ketika ditemui di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.
Tambahnya, Syed Hussein merupakan seorang anak muda yang telah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang.
“Ini sudah tentu ia memberikan lebih pemahaman untuk berkhidmat kepada masyarakat dalan kawasan DUN Mahkota.
“Tambahan lagi beliau juga pandai bahasa Mandarin jadi pengundi di kawasan ini ramai masyarakat Cina. Kelebihanlah yang ada pada Syed Hussein.
“Saya harap jentera jentera BN dapat berkempen cara profesional, tidak ada provokasi.
“Kita menjual calon kita, kekuatan calon kita untuk berkhidmat dengan masyarakat,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.