Oleh Kumaran Rajamoney
KULIM: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai terus menyaksikan desas desus calon Barisan Nasional (BN), Datuk Sivaraj Chandran akan memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak menjelang hari pengundian.
Ini berikutan jemputan ke Ceramah Pengumuman Khas Pilihanraya P017 Padang Serai tersebar melalui aplikasi WhatsApp, sejak pagi tadi.
Jemputan itu menyenaraikan beberapa nama besar dalam PH dan BN negeri Kedah iaitu Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dijangka berkongsi pentas yang sama.
Turut disenaraikan hadir adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Sabu yang mewakili PH pusat.
Dalam perkembangan berkaitan, mesej dipercayai dari kepimpinan MIC negeri Kedah juga tular menyebut “Dengan Hati Yang Sedih Calon BN/MIC Parlimen Padang Serai Dato Sivaraj & Pemimpin-2 BN/MIC Menerima Arahan Pucuk Pimpinan BN Dan Tarik Diri Daripada PRK P017 Dan Beri Laluan Kepada Calon PH”.
Bagaimanapun, tiada pengesahan mengenai perkara itu diterima dari Datuk Sivaraj.
Datuk Sivaraj sebelum ini menegaskan, bahawa beliau wajar diberikan laluan kerana telah menjalankan kerja lapangan selama lebih tiga tahun, namun menyerahkan kepada kepimpinan pusat untuk memutuskan isu berkaitan kompromi di kerusi parlimen itu.
Untuk rekod, selain Dr Sofee dan Datuk Sivaraj, calon lain yang bertanding di kerusi parlimen itu ialah Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) and Sreanandha Rao (Bebas).