comscore
Tumpuan :
Politik

Siti Mastura dirakam keterangan esok

 

KUALA LUMPUR: Proses merakam keterangan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, ditunda esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan rakaman percakapan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang itu yang sepatutnya dibuat hari ini, dijadualkan semula jam 11 pagi esok di Bukit Aman.

“Proses rakam keterangan akan diadakan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat ini, enam laporan polis diterima berkaitan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Siti Mastura dalam ceramah politik di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini, didakwa mengaitkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng sebagai sepupu bekas Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu juga mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew sebagai sepupu Kit Siang dan mengaitkan isteri Guan Eng, Betty Chew bersepupu dengan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok.

Beliau juga didakwa mengaitkan pemimpin DAP lain, termasuk Setiausaha Agungnya yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan.

Jumaat lalu, Guan Eng memberitahu beliau melalui peguamnya sudah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas pemimpin wanita PAS itu gagal mengemukakan bukti dalam tempoh 48 jam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini