comscore
Tumpuan :
Politik

Simpang Jeram, Pulai akan kekal milik PH

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

ALOR SETAR: Pakatan Harapan akan mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September ini.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedua-kedua kerusi itu akan menjadi milik Kerajaan Perpaduan berdasarkan pemerhatian situasi semasa di kawasan berkenaan.

“Saya semalam berada di Johor, saya optimis Simpang Jeram dan Pulai akan dapat dipertahankan PH dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan bagi pembelian van jenazah kepada Masjid Ar Raudhah, Sungai Durian, Pokok Sena di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa gelombang PN bakal melanda Johor, Saifuddin berkata perkara itu akan terjawab pada keputusan PRK 9 September ini.

Hari ini penamaan calon kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram menyaksikan saingan tiga penjuru dalam PRK kawasan berkenaan.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Suhaizan Kayat, disahkan sebagai calon PH di kerusi Parlimen Pulai.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi AMANAH Johor dan Ketua AMANAH Bahagian Pulai akan ditentang calon PN, Zulkifli Jaafar.

Zulkifli adalah Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Pulai yang juga usahawan kelahiran Tampoi.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi, pula diumumkan bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Pulai.

DUN Simpang Jeram PH meletakkan bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Nazri Abd Rahman sebagai calon, sementara PN diwakili pakar bedah, Dr Mazri Yahya manakala S Jegananthan mewakili Bebas.

Loading...
Terkini