Tumpuan :
Politik

Shahril letak jawatan Ketua Penerangan UMNO, gesa Zahid berundur

Shahril Sufian Hamdan. – FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan meletak jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO.

Shahril berkata, beliau menghargai peluang yang diberikan dan tidak akan melupakannya.

“Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar. Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama UMNO.

“Perjuangan parti belum selesai. ‘This is not the end’ (Ini bukan pengakhiran),” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau turut berpandangan bahawa Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur secara terhormat.

Katanya, Ahmad Zahid perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan parti berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan berundur secara terhormat.

“Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu.

“Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini,” katanya.

Menurutnya, UMNO perlu mempertimbangkah langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 kerusi Parlimen dalam PRU-15.

“Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi, bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja.

“Tetapi, sebelum parti hendak bincang atau buat apa-apa keputusan, ada satu perkara yang perlu dilaksanakan dahulu (Ahmad Zahid meletak jawatan),” katanya.

Terdahulu, BN Melaka terpaksa berputih mata apabila tewas di semua enam kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU-15.

Senario itu menyaksikan BN julung kalinya terlepas semua kerusi Parlimen apabila tiga kerusi di Parlimen Tangga Batu, Jasin dan Masjid Tanah berjaya ditawan Perikatan Nasional (PN) manakala tiga lagi kerusi di Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka berada dalam genggaman Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang membuat penampilan sulung di kerusi Parlimen Alor Gajah berjaya menumbangkan Shahril dengan majoriti 890 undi. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini