Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Keahlian Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya sebagai ahli UMNO digantung selama enam tahun.
Perkara itu disahkan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika dihubungi Buletin TV3.
Keputusan itu dipercayai diambil susulan tindakan Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Januari lalu.
Ia bertentangan dengan pengumuman Bung Moktar bahawa UMNO-Barisan Nasional (BN) Sabah telah menarik semula sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.
Susulan daripada keputusan itu menyebabkan Sabah sekali lagi dilanda polemik politik sehingga menyebabkan berlakunya rombakan kabinet dan menyaksikan Shahelmey dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri bagi menggantikan Bung Moktar yang digugurkan daripada barisan kabinet Sabah.
Shahelmey yang juga Adun Tanjung Keramat antara empat ADUN UMNO yang memutuskan untuk menyokong Hajiji selepas UMNO Sabah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri itu.
Tiga lagi ADUN adalah Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk James Ratib (Sugut).
Bulan lalu, Shahelmey yang juga timbalan ketua menteri berkata, beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk menentukan nasibnya.
James dan Jasnih kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar UMNO.