Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: “Sesiapa berhak beri pandangan termasuk Perdana Menteri, tetapi kuasa pemutus adalah Yang di-Pertuan Agong”
Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulas mengenai tindakan 12 anggota Jemaah Menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS yang menyerahkan surat kepada Istana Negara semalam.
Surat berkenaan bagi menyatakan rasa tidak setuju terhadap penetapan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini kerana bimbang risiko banjir.
Menurut Perdana Menteri, sebarang keputusan berkaitan pembubaran Parlimen adalah tertakluk kepada kuasa budi bicara Baginda, dan perkara itu tidak boleh dicabar mana-mana pihak.
“Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara sepenuhnya berdasarkan Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan. Jadi siapa sahaja berhak beri pandangan termasuk Perdana Menteri tetapi kuasa pemutus adalah Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau mereka nak tulis surat atau kenyataan akhbar, itu boleh. Itu bebas tetapi akhirnya keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Menurut Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.
Media tempatan hari ini melaporkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan surat itu ditandatangani oleh semua menteri Perikatan Nasional (PN) kerana tidak mahu PRU-15 diadakan tahun ini.
Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, surat bertarikh 3 Oktober lalu, sudah pun diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong semalam.