comscore
Tumpuan :
Politik

Semua pemimpin UMNO perlu bertanggungjawab terhadap prestasi buruk dalam PRN

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: UMNO perlu menerima hakikat bahawa pengundi melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah hilang sokongan terhadap parti itu sekaligus menyebabkan Barisan Nasional, (BN) hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri, (PRN) semalam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, semua pemimpin UMNO perlu bertanggungjawab dan melihat semula punca kekalahan parti itu.

“Bagi pendapat saya semua pemimpin UMNO disetiap peringkat termasuk Top 5, MT, Ketua-ketua bahagian disetiap negeri tersebut termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri kena bertanggungjawab keatas kekalahan ini. Saya secara peribadi, walaupun baru 5 bulan menjawat jawatan Naib Presiden turut bertanggungjawab diatas kekalahan ini,” katanya.

Sokongan pengundi melayu di Selangor dan Pulau Pinang yang turut merosot juga perlu diberi perhatian berdasarkan majoriti yang agak kecil berbanding Pilihan Raya Umum, PRU-15 lalu.

Sehubungan itu, UMNO perlu melihat semula agenda dan urus tadbirnya selama ini dalam menarik kembali sokongan orang melayu pada masa akan datang.

“Jadi kita ada 4 tahun 2 bulan daripada sekarang hingga 2027 bermakna kita kena melihat balik bagaimana kita nak memenangi hati orang melayu sepertimana mereka menyokong kita 60 tahun mentadbir negara nak kena tengok balik dari segi ‘approach’, strategi, dari segi penerimaan masyarakat, dari segi apa yang mereka nak kita buat,” katanya.

Jelas beliau perkara ini mungkin mengambil masa atas faktor dinamika politik itu sendiri.

“Tak semestinya bila kita ‘down’ macam ni kita rasa macam kita tak relevan yang penting adalah macamana  kita nak jadi relevan ialah kita melihat semula apa benda ni kenapa jadi begini,” katanya.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian sempena majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar IPTA dan IPTS di Dewan Yayasan Bena Nusa, Taman Maluri, ibu negara.

Dalam majlis itu seramai 100 pelajar menerima sumbangan wang tunai RM1,000 seorang.

Loading...
Terkini