Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berjanji masalah jalan gelap di kawasan itu akan diselesaikan dalam tempoh sebulan jika diberikan mandat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kata beliau, pihaknya yakin masalah itu boleh diselesaikan segera dengan menggunakan kaedah pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED).
“Dalam sebulan kalau ada pembekal kontraktor yang boleh menyegerakan, benda ini mudah hanya menukarkan tekanan tinggi lampu sodium itu kepada penggunaan lampu LED.
“Tapi kalau saya nak sebutkan tambah tiang ke tempat itu memerlukan kelulusan yang berbeza, ia melibatkan tenaga walaupun nak tukar lampu birokrasi itu melengahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Manifesto PN Parlimen Alor Gajah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gangsa, di sini, malam tadi.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu, penambahbaikan itu merupakan antara 17 tawaran yang akan dilaksanakan di bawah lima teras hasil aduan rakyat serta misi pembangunan di kawasan itu.
Dalam pada itu, Mohd. Redzuan yang juga penyandang parlimen itu membidas pihak yang mendakwanya tidak turun padang selama lima tahun sebelum ini.
“Manifesto ini berasaskan daripada maklum balas, isu-isu tempatan, jangan kata kita tak turun padang lima tahun, kita tak perlu bagi tahu, itu tanggungjawab ahli parlimen.
“Setakat ini yang kita tahu (kawasan) Asahan naikkan isu lampu ini, jadi kalau di tempat lain kita ambil maklum dan kalau perlu bantu, kita akan bantu, tak ada pilih tempat,” ujarnya.
Tambah Mohd Redzuan, pihaknya juga akan meneruskan semula beberapa program ketika beliau menjadi Menteri Pembangunan Usahawan termasuk SmartFarmer dan Biasiswa Pak Wan kepada anak-anak tempatan.