comscore
Tumpuan :
Politik

Sebarang tindakan terhadap ADUN Rembia mengikut aku janji lompat parti 

 

Foto: NSTP

Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Dua penelitian akan dibuat kerajaan negeri Melaka terhadap tindakan lompat parti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penelitian akan dibuat dari dua sudut berbeza iaitu melalui perlembagaan parti sebagai wakil rakyat yang mewakili parti dan kerajaan negeri sebagai ADUN.

“Kita akan meneliti lebih lanjut dakwaan ADUN Rembia yang sudah berhijrah ini berpandukan kepada undang-undang dan peraturan .

“Perkara yang akan diteliti adalah daripada sudut yang berbeza sepertimana yang saya katakan iaitu melalui perlembagaan parti.

“Sebagai wakil rakyat yang mewakili parti dalam kerajaan dan sebagai ADUN akan dimuktamatkan sebelum sebarang tindakan susulan,”katanya ketika sidang media, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka turut memaklumkan langkah pertama tentang kedudukan Datuk Muhamad Jailani sebagai ADUN pula akan diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri.

“Walau bagaimanapun, untuk menjadi seseorang Ahli Berhormat melalui sebuah parti politik iaitu UMNO waktu itu, beliau telah menandatangani aku janji bahawa penghijrahan dalam mana-mana parti politik daripada parti politik asal yang ditunjangi oleh parti yang beliau dokongi dan memberikan tempat bertanding akan diambil tindakan.

“Aku janji itu menjadi perantara di antara seorang indvidu yang akan menjadi wakil rakyat dan seorang individu yang telah menjadi wakil rakyat dan dia bersedia menerima apa jua syarat yang ditetapkan UMNO atau BN ketika itu.

“Dan ia telah ditandatangani dan dipersetujui akan menanggung segala kos yang akan dituntut oleh BN atau UMNO sekiranya beralih kepada sebuah parti lain,”katanya

Menurutnya lagi, sebelum membuat keputusan, penelitian daripada sudut perundangan akan dilakukan sebelum menyerahkan kepada Majlis Tertinggi UMNO tidak lama lagi.

“Jadi saya  akan menyusul perkara ini ke peringkat Majlis Tertinggi untuk diambil tindakan susulan.

“Yang kedua kedudukan beliau sebagai ADUN, saya juga melihat perkara ini akan disusun dengan enakmen kerajaan negeri yang telah dimuktamadkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang telah ditamatkan pada 2023.

“Selepas itu kita akan lihat tindakan susulan sekiranya ada  perkara yang boleh kita bangkitkan sebagai tindakan susulan ini untuk  diambil tindakan undang undang atau sebaliknya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri boleh berfungsi dengan lebih baik ketika ini kerana mempunyai tanggungjawab kepada rakyat dan bertanggungjawab atas mandat yang diberikan.

Media melaporkan Datuk Muhamad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai parti PAS.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan kemasukan Datuk Muhamad Jailani ke parti berkenaan, berkuat kuasa Jun tahun lalu.

Datuk Seri Takiyuddin dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Datuk Muhamad Jailani pada 10 Jun 2023.

Mengulas perkembangan itu, komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kini dianggotai tiga wakil pembangkang, meningkat seorang berbanding selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini