KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan beliau tidak mendahului atau masuk campur urusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), tetapi pandangannya lebih kepada membela UMNO sebagai parti yang mematuhi Perlembagaan.
Setiausaha Agung UMNO itu mengulas berhubung status usul tambahan pada perhimpunan agung parti baru-baru ini.
Katanya, beliau hanya menggunakan haknya bercakap dan menjawab tuduhan yang tidak betul.
“Kita sudah memberikan penjelasan kepada RoS (Selasa) serta mengemukakan dokumen tambahan termasuk minit mesyuarat lengkap sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU), memang tiada pelanggaran peraturan.
“Rujuk manapun (buku peraturan dan Perlembagaan) tiada perlanggaran ketika perkara itu berlaku,” katanya.
UMNO Selasa lalu memberi penjelasan kepada RoS berhubung usul tambahan yang diluluskan pada PAU untuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan parti akan datang.
Susulan itu, Ahmad bersama tiga individu lain menemui Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad di Putrajaya dengan membawa dokumen yang disediakan peguam.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, dakwaan yang dibuat itu juga timbul daripada kalangan perwakilan dan mereka tidak masuk dalam dewan sekali gus tidak tahu apa sebenarnya berlaku.
Dalam pada itu, katanya bukan suatu yang luar biasa, dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan.
“Ada sebab mengapa tiada kita tidak mempertandingkannya. Kita tidak mahu orang UMNO berpecah dalam tempoh 77 tahun UMNO ditubuhkan, hanya empat kali jawatan itu dipertandingkan.
“Sebagai contoh, pertandingan pada tahun 50-an, perpecahan itu mewujudkan PAS. Begitu juga pertandingan 1987, mewujudkan Semangat 46, kita tidak mahu UMNO berpecah lagi dan membentuk apa-apa (parti serpihan) lagi selepas ini,” katanya.
Katanya, usul itu juga bertujuan menjaga kepentingan 3.4 jumlah ahli UMNO kerana ada ketikanya jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan.
“Namun pada kali ini dan atas persetujuan tertentu untuk menstabilkan parti dan kerajaan, kita bersetuju terhadap usul kedua-dua jawatan itu yang dicadangkan wakil Melaka yang disokong oleh Terengganu.
Menjelaskan lanjut, Ahmad berkata, ahli UMNO memang ada hak (bersuara), tetapi perwakilan lebih mempunyai hak.
“Perwakilan adalah wakil rasmi UMNO, perwakilan yang 14 orang itu (menyokong) yang mewakili 90 peratus wakil rasmi UMNO, tetapi yang dua (tidak menyokong dan membuat aduan) itu mewakili siapa.
Memang ketika usul itu mula-mula dibentang, ada pertikaian, namun peraturan mesyuarat menyebut pengerusi tetap berkuasa penuh, keputusan pengerusi tetap adalah muktamad. Itu dalam peraturan mesyuarat.
“Jelas apabila ada pertikaian, jika ada usul itu ada penyokong dan selepas ia dibahaskan, maka ia dibuat mengikut peraturan, pengerusi tetap membuat keputusan mengikut peraturan,” katanya.