Tumpuan :
Nasional

“Saya tidak akan buat rayuan” – Shahelmey

Datuk Ir Shahelmey Yahya ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Sabah Zon Utara di Pulau Pinang, malam ini. – Foto: NSTP

GEORGETOWN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya tidak berhasrat untuk buat rayuan selepas keahlian beliau sebagai ahli UMNO Sabah digantung selama enam tahun.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah berkata, akan menjalani tempoh penggantungan itu, selain bertumpu kepada menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau.

“Tidak. Saya tidak akan buat rayuan dan akan menjalani tempoh penggantungan selama enam tahun itu,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Sabah Zon Utara, malam ini.

Ketika disoal sama ada beliau mempertimbangkan sama ada akan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Shahelmey menjawab: “Saya akan maklumkan kemudian”.

Mengulas mengenai tiga ADUN Sabah dibuang daripada parti itu seperti diumumkan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Ahad lalu, Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat menyifatkan perkara itu bukan satu isu.

Ini kerana ketiga-tiga mereka terlibat iaitu Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) terlebih dahulu mengumumkan keluar daripada parti.

Loading...
Terkini