GOMBAK: “Saya tidak tahu menahu (sebab Azwan Ali tarik diri), saya hanya fokus kepada tanggungjawab untuk menjaga rakyat di Gombak,”
Demikian menurut penyandang Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berhubung tindakan adiknya yang juga selebriti sensasi, Azwan Ali menarik diri di saat akhir sebagai calon bebas bagi kerusi berkenaan.
Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berkenaan situasi yang berlaku di pusat penamaan calon semalam.
Beliau sebaliknya menegaskan tumpuannya kini adalah menjaga kebajikan rakyat Gombak.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama komuniti Gombak, di sini, hari ini.
Semalam, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding selepas mendengar bisikan daripada arwah ibunya, Mak Tom supaya melupakan hasratnya itu.
Sementara itu, Azmin yang akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) mengakui bakal berdepan cabaran besar disebabkan perubahan landskap politik negara ketika ini sangat luar biasa.
“Sudah tentu landskap politik kali ini sudah berubah dan anak muda juga akan terbabit dalam proses pemilihan pemimpin negara. Ini adalah cabaran besar buat saya dan calon lain.
“Kami berdepan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam Malaysia. Cabarannya adalah bagaimana untuk kami yakinkan pengundi terutama dalam kalangan anak muda,” katanya.
Kerusi Parlimen Gombak menyaksikan persaingan lima penjuru membabitkan Azmin (PN); calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omar Din; calon Gerakan Tanah Air (GTA), Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.
Pada PRU-14 lalu, Azmin berjaya memenangi kerusi terbabit dengan majoriti 48,721 undi.