ALOR GAJAH: Penyandang Parlimen Alor Gajah daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, menafikan tidak turun padang menjenguk masyarakat sepanjang tempoh perkhidmatan di kawasan berkenaan.
Beliau yang dikenali sebagai Pak Wan, nekad menjawab dakwaan kononnya tidak menyantuni rakyat sedangkan hakikatnya turun ke kawasan tiga kali seminggu bagi menyampaikan bantuan seiring tanggungjawab sebagai ahli Parlimen.
Jika tidak berkesempatan berbuat demikian, beliau memastikan ada pegawainya turun meninjau dan memberi bantuan serta sumbangan diperlukan.
“Semalam saya ada terima laporan mendakwa Pak Wan lima tahun tak turun padang dan tidak menyantuni rakyat. Saya tak tahu siapa yang tularkan.
“Penggal ini bukan lima tahun tapi empat tahun dan kita ada kekangan COVID-19 hampir dua tahun. Mereka tak tahu saya turun Alor Gajah dan kalau tak turun, saya pastikan ada pegawai pejabat saya memberi bantuan diperlukan.
“Siapa yang tulis artikel itu boleh minta pada Pak Wan dapatkan statistik yang ada. Berjuta-juta ringgit dikeluarkan, malah kereta yang ada gambar Pak Wan setiap hari keluar memberi bantuan menerusi Pusat Khidmat Parlimen Alor Gajah ketika itu.
“Kalau mereka boleh turun padang buat macam Pak Wan, turunlah kerana Pak Wan mempunyai rekod termasuk menyantuni mereka yang sakit, bantuan katil, keperluan susu dan pelbagai lagi tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Tanpa mahu menunjuk-nunjuk, Mohd Redzuan berasa perlu menyatakannya kerana ada yang mempertikaikan tanggungjawabnya selama ini.
Beliau turut berusaha menyelesaikan masalah laluan gelap di Asahan dan kawasan lain dalam tempoh sebulan jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, ia antara 17 perkara menerusi lima teras aku janjinya yang dikenal pasti dapat diselesaikan dalam tempoh singkat tanpa kerenah birokrasi.
Beliau berkata, ia membabitkan kaedah pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) di tiang lampu sedia ada tanpa penambahan tiang lampu di kawasan berkenaan.
Di bawah jenama Tawaran Untuk Rakyat Alor Gajah, Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU menggariskan 17 tawaran membabitkan lima teras utama.
Redzuan berkata, antaranya pemerkasaan keusahawanan, membina hab sukan elektronik di bawah teras sukan, pendidikan, kemudahan infrastruktur dan menambah baik jaringan jalur lebar di kawasan terjejas bagi teras kesejahteraan masyarakat.
Jelasnya, semua tawaran dirangka berdasarkan maklum balas diterima selama empat tahun perkhidmatan sebelum ini dengan mendekati permasalahan secara mikro tanpa meminggirkan mana-mana lapisan masyarakat.
“Saya juga mahu menyambung beberapa program ketika menjadi Menteri Pembangunan Usahawan termasuk program SmartFarmer dan Biasiswa Pak Wan kepada anak-anak tempatan,” katanya.
Mohd Redzuan menghadapi saingan calon Barisan Nasional (BN), Shahril Sufian Hamdan; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari dan calon PEJUANG, Muhammad Nazriq Abdul Rahman. – BERITA HARIAN