comscore
Tumpuan :
Politik

Sanusi dicabar Mahfuz tanding di DUN dikuasai DAP

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Datuk Mahfuz Omar. – FOTO :NSTP

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dicabar bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga atau Kota Darul Aman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi ‘menyelamatkan’ orang Melayu di kawasan itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga atau Kota Darul Aman yang dikuasai DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, Muhammad Sanusi perlu berani meninggalkan DUN Jeneri untuk membuktikan dirinya seorang Menteri Besar yang memiliki sokongan masyarakat secara menyeluruh dari rakyat Kedah.

Sebagai contoh katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah membuktikan beliau diterima baik rakyat apabila menang di Parlimen Permatang Pauh, Port Dickson dan Tambun sebelum ini.

Muhammad Sanusi yang dianggap sebagai ‘hero Melayu’ kerana melawan DAP dan menuduh parti itu macam-macam eloklah bertanding di DUN Derga atau Kota Darul Aman. Elok beliau bertanding di situ bagi ‘menyelamatkan’ orang Melayu di dua DUN berkenaan yang kini dikuasai DAP.

“Buktikan yang beliau dapat mendapat sokongan menyeluruh dari masyarakat dan rakyat. Sepatutnya beliau berani bertindak demikian kerana Perdana Menteri juga sebelum ini membuktikan kredibiliti beliau sebagai pemimpin berkaliber apabila tetap diterima rakyat walau berdepan pelbagai tuduhan fitnah,” katanya ketika ditemui di Pejabat PH Kedah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ‘tawaran’ dikemukakan Muhammad Sanusi baru-baru ini untuk Mahfuz kembali bertanding dalam salah satu DUN di Kedah dalam PRN akan datang, setelah beliau tewas dengan majoriti lebih 31,000 undi di Parlimen Pokok Sena dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ditanya sama ada beliau akan kembali bertanding dalam PRN nanti, Mahfuz menjawab setakat ini beliau sendiri belum pasti mengenainya.

“Sebelum ini kita menjangkakan PRN dan PRU akan diadakan serentak jadi saya telah disenaraikan untuk bertanding Parlimen dan ada orang lain disenaraikan bertanding di DUN. Kita ada banyak bakat untuk diketengahkan sebagai pelapis dan mereka ini akan diberi ruang untuk bina bakat kepimpinan masing-masing.

“Setakat sekarang, saya adalah calon Parlimen yang bertanding dalam PRU lalu. Sama ada akan bertanding dalam PRN atau tidak, itu belum tahu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata Muhammad Sanusi jelas risau akan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PH dengan membuat pelbagai andaian termasuk kononnya akan berlaku perpecahan antara mereka semasa pengagihan kerusi.

“Sebenarnya selepas PRU lalu, mereka amat berharap agar BN bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan tetapi perkara itu tidak berlaku.

“Sebab itulah sekarang ini mereka mengharapkan perpecahan antara BN dan PH. Tetapi saya percaya betapa kedua-dua gabungan ini memiliki kepimpinan sangat baik serta berpengalaman dan kami akan dapat membuat keputusan yang diterima semua pihak,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata proses rundingan pembahagian kerusi antara PH dan BN dalam menghadapi PRN tidak lama lagi dijangka menemui jalan buntu.- Berita Harian

Loading...
Terkini