KUALA LUMPUR: Ronnie Liu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, mengumumkan pengunduran berkuat kuasa esok daripada parti yang dianggotainya selama empat dekad.
Perkara itu disahkan menerusi surat yang dikongsi di Facebook rasminya hari ini.
Dalam surat kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bertarikh 23 Jun itu, Ronnie antara lain memohon pucuk pimpinan parti untuk menamatkan keahliannya berkuat kuasa esok (24 Jun).
“Saya melibatkan diri dalam perjuangan DAP semenjak di peringkat sekolah menengah dan telah menjadi ahli DAP sejak 1982.
“Namun selepas 41 tahun bersama DAP, banyak perkara telah berlaku dan ada yang di luar jangkaan saya.
Dengan itu saya memohon untuk menamatkan keahlian saya bersama DAP,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Selangor turut merakamkan penghargaan terhadap peluang dan keyakinan yang diberikan kepadanya.
“Segala peristiwa manis pahit, pengalaman suka duka dan pengetahuan yang dihulur oleh parti kepada saya selama 41 tahun berkhidmat dan berjuang bersama DAP.
“Semoga DAP terus maju dan sentiasa memegang prinsip sosialisme demokratik dan konsep perjuangan ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’,” katanya.