Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak mahu menjawab perihal dua warga China yang dibawa masuk bekerja dengan Menteri Besar Incorporated (MBI), sebagai petanda Menteri Besar Kedah itu sudah panik.
Menurut Saifuddin, alasan Muhammad Sanusi bahawa beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif ke atas MBI dan tidak mengikuti perjalanan operasi perbadanan itu disifatkan sebagai tindakan lepas tangan.
Artikel berkaitan: 10 EXCO Kedah dipanggil SPRM – Sanusi
Tambah Saifuddin, status dua warga China yang berkali-kali dibangkitkan perlu diperjelaskan kepada rakyat negeri Kedah memandangkan ada tindakan perundangan sudah diambil ke atas seorang daripada mereka.
“Sanusi sendiri telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu memohon kemasukan warga China ini. Namun setelah tangkapan dibuat, dia (Sanusi) mahu cuci tangan.
Disebalik kenyataan beliau relaks sahaja, sebenarnya itu menunjukkan tanda-tanda panik. Sanusi tahu komplot enam bulan lepas yang dia akan ditangkap, tapi hal berkaitan MBI dan warga China yang dia tolong dapatkan Pas Iktisas dia dakwa tidak tahu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi lagenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek bertemu peminat di Taman Wira, di sini hari ini.
Jelasnya, Menteri Besar Kedah itu seorang yang lantang menjawab segala isu namun tidak langsung mengulas soalan-soalan yang dibangkitkan mengenai warga China itu, setakat ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhammad Sanusi bahawa beliau tidak mengetahui perjalanan operasi MBI kerana tidak mempunyai kuasa eksekutif ke atas perbadanan itu.
Muhammad Sanusi menyifatkan usaha menyamakan MBI dengan Menteri Besar sebagai mengarut.