KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mahu pimpinan parti itu mempertimbangkan penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata perjuangan ke arah kuota 30 peratus itu bukan perkara baharu, sebaliknya diperjuangkan sejak pimpinan terdahulu pergerakan terbabit.
“Kita minta wakil MKT (Majlis Kerja Tertinggi) ke perhimpunan Wanita untuk membantu menjadi pendesak kepada pimpinan parti supaya jumlah 30 peratus (calon) wanita ini dapat dilaksanakan. Kita sabar, memang sabar (namun) sabar pun ada hadnya.
“Kita akan terus konsisten perjuangkan pembabitan wanita sehingga kuota minimum 30 peratus ini berjaya dan dalam PRN akan datang, mesti ada jumlah sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita di enam negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Noraini berkata, pencapaian tertinggi pembabitan wanita sebagai calon adalah ketika PRN Johor tahun lalu iaitu sebanyak 25 peratus.
Katanya, Wanita UMNO akan terus memperjuangkan hasrat itu dan yakin hasrat murni terbabit mampu dicapai suatu hari nanti.
“Seperti dibahaskan wakil Kelantan, kita ada ramai calon…ramai calon (memiliki) diploma, ada Sarjana pun ramai, Doktor Falsafah (PhD) pun ramai, profesional juga ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Noraini meminta supaya semua ahli memberi kepercayaan kepada pimpinan parti yang berada dalam Kabinet untuk membawa suara dan mandat akar umbi.
“Ini bukanlah masa untuk kita mencari salah, menuding jari dan bertelagah sesama Sendiri. Ini masa bekerja.
“Inilah masanya kita mengambil langkah sederap, cabaran pilihan raya di enam negeri masih belum selesai,” katanya.