KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman, dipertaruhkan DAP untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, ketika sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.
Loke berkata, penyenaraian Rara untuk bertanding di kerusi Parlimen adalah langkah strategik untuk memastikan masa depan DAP ke arah parti pelbagai bangsa.
Young Syefura atau lebih dikenali Rara dijangka bertembung Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang diuar-uar mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi terbabit.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Bentong dimenangi DAP melalui aktivis anti-Lynas, Wong Tack yang bertanding menggunakan logo PKR, menewaskan dua calon termasuk Tiong Lai selaku penyandang.
Dalam pada itu, DAP menerima satu lagi kerusi Parlimen di Pahang iaitu Lipis untuk meletakkan calonnya dalam PRU14, sebagai tambahan kepada tiga kerusi sedia ada iaitu Bentong, Cameron Highlands dan Raub.
Selain Rara di Bentong, Loke turut mengumumkan nama untuk baki tiga lagi kerusi Parlimen termasuk penyandang kerusi Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang akan bertanding di Lipis.
Dua lagi nama ialah penyandang kerusi DUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong yang akan bertanding di Parlimen Cameron Highlands dan Chow Yu Hui yang akan mempertahankan penguasaan di Raub. – BERITA HARIAN