comscore
Tumpuan :
Nasional

Ramal kerajaan tumbang hanya ‘fatwa” politik – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diminta untuk menilai semula kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menjangkakan kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat perlu pandai menilai kenyataan yang disebut sebagai fatwa politik.

“Itu doa buruk beliau dan saya fikir sebagai seorang ulama’ politik, beliau mempunyai fatwa yang berbeza-beza dan fatwa itu bergantung kepada situasi.

“Ayat al-Quran yang sama dan hadis yang sama, maknanya sama tapi tafsirannya berbeza.

“Nilai sendirilah apa yang beliau sebutkan itu sebagai fatwa politik,” katanya pada satu sidang media selepas berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di ibu kota pagi tadi.

Jelasnya, kestabilan politik dan permasalahan rakyat adalah lebih penting berbanding pertukaran kerajaan buat masa ini.

Perbezaan pendapat dan pandangan politik yang tidak berpenghujung perlu dielakkan bagi mengembalikan keyakinan pelabur asing, justeru memacu semula pertumbuhan ekonomi negara.

“Yang penting ialah kestabilan politik dan yang lebih penting lagi permasalahan rakyat mesti diselesaikan.

“Ketepikanlah soal perbezaan pendapat, kalau mahu tukar kerajaan tukar dalam Pilihan Raya Umum yang ke-16 nanti dan yang penting kita kembalikan keyakinan pelabur-pelabur asing untuk melabur semula di negara kita

“Kita mahu perkembangan ekonomi kita mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang terbaik, bukan menumpukan kepada kerja-kerja politik yang tidak ada penghujungnya,” katanya kepada Buletin TV3.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung kenyataan Presiden PAS baru-baru ini yang mendakwa Perdana Menteri akan tumbang tidak lama lagi.

Untuk rekod, Abdul Hadi ketika berucap di Dewan Rakyat berkata bahawa pembangkang tidak boleh dipersalahkan sekiranya pentadbiran Pakatan Harapan (PH) runtuh sekali lagi.

Ahli Parlimen Marang itu juga tidak menyebut jika Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai partinya bersama sekutu utamanya, Bersatu sedang mengaturkan sesuatu.

Loading...
Terkini