Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Kombinasi antara Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama Timbalan baharunya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan disifatkan satu kombinasi yang mampu memberi pemangkin kepada UMNO negeri itu.
Datuk Seri Bung Moktar berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kepakaran dan pengalaman tersendiri kedua-dua pemimpin itu dalam arena politik di peringkat negeri dan pusat.
“Sebenarnya Datuk Rahman ni nama sahaja jawatan baharu tetapi dia sudah lama dalam parti dan saya cukup yakin kombinasi saya dengan dia memberi pemangkin yang lebih baik sebab kami dua ni berpengalaman di negeri berpengalaman di peringkat nasional,
“Jadi kombinasi ini pada saya merupakan satu mungkin ditakdirkan oleh Allah kita akan gunakan kepakaran yang ada kepada kami berdua untuk memastikan UMNO Sabah akan terus mendapat perhatian daripada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah Jawatan Badan Perhubungan UMNO Sabah 2023/2026 di Bangunan UMNO di sini, hari ini.
Datuk Seri Abdul Rahman mengulas kenyataan Datuk Seri Bung Moktar pula berkata, beliau tidak ada masalah dengan kepimpinan baharu itu dan menghormati Datuk Seri Bung sebagai orang lama dalam arena politik.
“Saya secara peribadi tidak ada masalah dengan kepimpinan yang ada di atas ini dan saya melihat untuk maju ke depan kita perlu semua kekuatan dari semua pihak Datuk Bung adalah pemimpin yang sudah lama seorang yang lama dalam parlimen Sabah dan Malaysia sekarang menerajui UMNO Sabah tidak ada masalah semua,” kata Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Semalam barisan kepimpinan baharu UMNO Sabah ujar Datuk Seri Ahmad Zahid, Datuk Seri Bung Moktar dan Datuk Seri Abdul Rahman perlu ada keserasian agar dapat memberi keseimbangan naratif baharu untuk majukan Sabah serta situasi politik semasa negeri itu.
Pada 2020 lalu Datuk Abdul Rahman pernah mengkritik pemilihan Bung sebagai pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu namun salah faham itu akhirnya dileraikan selepas keduanya berdamai disaksikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Bung Moktar dalam sidang media sama turut menzahirkan penghargaan kepada mantan timbalannya Datuk Yakub Khan yang telah berkhidmat selama 5 tahun dalam jawatan itu.