KUALA LUMPUR: Perubahan landskap politik negara seharusnya menjadi pendorong kepada Puteri UMNO diletak pada barisan hadapan, bagi menjadi tunggak utama untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan serta amanah yang perlu dilaksanakan khususnya kepada ahli UMNO.
Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan, berkata sudah tiba masanya parti politik Melayu itu merapatkan saf untuk menuju kemenangan bersama, demi agama, bangsa dan negara.
“Tibalah masanya untuk saya menawarkan diri memimpin dan membangkitkan semangat baru supaya kita dapat membentuk suatu kekuatan bagi Pergerakan UMNO Malaysia.
“Saya mempunyai impian bagi membawa Sayap Puteri UMNO menjadi tunggak utama untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan serta amanah yang perlu dilaksanakan khususnya kepada ahli UMNO, pengundi kepada parti yang disayangi demi agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hazwani berkata, beliau juga mahu mengembalikan erti pengorbanan dan perjuangan yang sering disalah gunakan oleh parti politik kini.
“Kedua-dua perkataan ini mulia dan juga murni serta memperlihat gambaran mereka yang berpegang kepada perkataan ini pasti mempunyai nilai yang tidak mementingkan diri sendiri.
“Tetapi berapa ramai yang menggunakan perkataan ‘perjuangan’ dan ‘pengorbanan’ itu memahami maksudnya?
“Sayangnya, dalam dunia hari ini, sikap tidak mementingkan diri, yang ikhlas ‘perjuangan’ dan ‘pengorbanan’ semakin pupus. Perkataan itu hanyalah menjadi permainan di bibir, keikhlasan dengan memahami erti serta semangat perkataan itu sudah lama lenyap di hati.
“Jadi, sudah tiba masanya untuk kita bersama mengembalikan erti sebenar ‘perjuangan’ dan ‘pengorbanan’ dengan semangat penuh keikhlasan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Puteri Bahagian UMNO Seputeh itu berkata, segala perkara yang terjadi, kesalahannya haruslah dipikul secara bersama.
“Mulai hari ini, apa sahaja yang sudah berlaku, atau akan berlaku mestilah berdasarkan tanggungjawab bersama. Mudah untuk menuding jari dan bermain permainan menyalahkan satu sama lain.
“Oleh itu, saya ingin menyeru supaya kita merapatkan saf dan menuju ke arah kemenangan bersama. Kemenangan ini hanya dapat dicapai apabila kita bergerak sebagai satu pasukan. Saya berdoa agar pemimpin dan ahli Puteri UMNO akan menyahut seruan saya untuk memperjuang parti UMNO,” katanya. – BERITA HARIAN