Tumpuan :
Politik

PRU15 : ‘UMNO Tidak Dahului Kabinet’

PONTIAN: UMNO menafikan parti itu mendahului Kabinet dalam membuat ketetapan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata beliau yakin isu pandangan anggota Kabinet sudah diselesaikan kerana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ada diberikan gambaran mengenai mesyuarat Jemaah Menteri dalam perkara berkenaan.

Beliau berkata keputusan mengadakan PRU15 pada tahun ini juga dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

Katanya, UMNO bukan mahu mengambil kuasa mahu pun mendahului Kabinet, namun oleh kerana Perdana Menteri adalah sebahagian pemimpin tertinggi parti, maka ia perlu membuat keputusan bersama.

“Oleh kerana Perdana Menteri daripada UMNO, maka kita nyatakan pendirian berkaitan mengenai PRU15. Yang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan juga adalah Perdana Menteri.

“Atas sebab itu, UMNO perlu buat keputusan yang memandu ke arah PRU15, bukan parti lain. Kita harap panduan dibuat itu akhirnya berjaya membawa kepada pilihan raya diadakan.

“Apatah lagi Perdana Menteri adalah sebahagian yang buat keputusan itu (PRU15) kerana beliau hadir dalam Mesyuarat Top Five, Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Jumaat lalu.

“Dalam urusan Kabinet itu tentunya sudah diselesaikan. Walaupun saya tiada dalam Kabinet namun MKT ada diberi gambaran mesyuarat Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Ayuh Cergas Warga Emas Cemerlang di Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu berbincang terlebih dahulu dalam Kabinet berhubung pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Beliau dilaporkan berkata Jemaah Menteri boleh memberikan pandangan berhubung perkara itu sebelum Perdana Menteri membawa cadangan itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.
“Perdana Menteri kena bawa ke Kabinet, biar Kabinet putuskan,” katanya.

Jumaat lalu, MKT UMNO membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.

Ahmad dilaporkan, berkata susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menolak kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan tindakan MKT UMNO menggesa PRU15 diadakan secepat mungkin diibaratkan menempah maut.

“Pihak yang menyatakan perkara itu tidak tahu mengenai persiapan yang dibuat. Beliau pun tak pernah hadir dalam pertemuan besar yang parti adakan.

“Mungkin beliau tidak mengetahui dan tidak terbabit. Namun sebenarnya kita sudah buat banyak persiapan PRU15 ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini