Tumpuan :
Politik

PRU15: Tok Det optimis pertahan Parlimen Padang Terap

Calon BN Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PADANG TERAP: Pengundi muda menjadi antara komponen penting dalam menentukan sokongan dan undi buat Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penyandang kerusi Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau telah melaksanakan banyak program yang melibatkan golongan muda khususnya di daerah berkenaan.

“Anak muda merupakan satu kluster penting yang menentukan sokongan kepada calon, dan kita telahpun menjalankan banyak program bagi memastikan golongan ini terus bersama BN.

“Sudah pastinya, lebih banyak perancangan yang dijadualkan untuk mereka tetap setia dengan kita,” katanya kepada media selepas selesai menghantar borang pencalonan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu yakin akan terus menjadi pilihan rakyat meskipun akan berhadapan dengan 3 calon baharu dari Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Parlimen ini akan menyaksikan pertembungan 4 penjuru dalam PRU pada 19 hari bulan nanti Insya-Allah.

“Saya merupakan wakil rakyat dan ahli parlimen bagi daerah ini, saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa saya dapat mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap,” ujarnya kepada Buletin TV3.

Untuk rekod, Naib Presiden UMNO itu berjaya mempertahankan kerusi tersebut selama dua penggal berturut-turut.

PRU-14 lalu menyaksikan Ahli Parlimen terbabit berjaya meraih undi sebanyak 16,384 menewaskan calon PAS Mohd Azam Abd Aziz dengan undi sebanyak 15,285 dan calon AMANAH Khairizal Khazali yang beroleh sebanyak 7,254 undi sahaja.

Loading...
Terkini