Tumpuan :
Politik

PRU15: ‘Sehari Dua Lagi Kita Muktamadkan Senarai Calon BN’ – Mahdzir

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR: Senarai calon Barisan Nasional (BN) akan dimuktamad oleh ‘Top 5’ dalam tempoh sehari dua lagi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kepemimpinan tertinggi juga sudah menerima senarai nama calon daripada Pengerusi Perhubungan negeri.

“Setakat hari ini, ada yang sudah beri (senarai nama calon) tapi belum dimuktamadkan lagi, akan muktamad sehari dua ini.

“Kita akan memuktamadkan dalam beberapa masa lagi, ini kerana penamaan calon pada 5 November, jadi maknanya ada masa lagi untuk kita selesaikan.

“Saya ingat tidak banyak dah (untuk memuktamadkan senarai),” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di sini hari ini.

Top Five UMNO merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir.

Ditanya mengenai keputusan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding semua kerusi termasuk 27 kerusi kritikal, sekali gus bakal menyaksikan banyak pertandingan lebih tiga penjuru, Mahdzir berkata, lebih banyak penjuru akan memberi kelebihan kepada BN.

“Dalam sebuah negara demokrasi, saya ingat kita tak boleh kiralah (berapa penjuru). Semua orang akan bertanding, dia akan jadi empat penjuru, lima penjuru dan enam penjuru.

“Makin banyak parti akan makin banyak penjuru, mungkin satu hari nanti ada 10 penjuru.

“Banyak penjuru baik untuk kita (BN), (bila) sudah banyak sangat kita menanglah semua,” katanya.

Ditanya tidakkah pertandingan banyak penjuru hanya akan memecahkan undi terutama kawasan Melayu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, berkata perkara itu terpulang pada tanggapan masing-masing.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini dilaporkan berkata, pertembungan di 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal dalam menghadapi PRU-15 tidak dapat dielakkan berikutan ada pihak yang berasa ‘kuat’ dan mampu memenangi kerusi.

Katanya, Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon daripada komponen parti itu di semua kerusi berkenaan bagi menentang calon BN dan Pakatan Harapan (PH).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU-15, sementara 5 November bagi penamaan calon dan hari pengundian awal pada 15 November ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini