comscore
Tumpuan :
Politik

PRU15: Muka Baharu Beri Kelebihan Buat Parti

| Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Tindakan agresif menampilkan wajah baharu sebagai calon untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 merupakan langkah proaktif dalam gelanggang demokrasi.

Profesor Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman menyifatkan formula Barisan Nasional (BN) yang diumumkan oleh presidennya sendiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam sebagai ruang kepada anak muda untuk berkarya dalam pentas politik.

“Dalam rencaman dan kompleksiti politik ketika ini, senarionya berbeza sama sekali sebelum PRU ke-14, jadi satu tindakan bijak untuk menampilkan wajah baharu.

“Sebenarnya mereka ini (golongan muda) ada kekuatan dan kelebihan yang tersendiri, cuma sebelum ini mereka kurang mendapat ruang dan peluang untuk beraksi di kancah politik tempatan,” katanya kepada Buletin TV3.

Untuk menembusi pengundi muda, parti politik juga perlu menjalin gabungkan kaedah kempen yang lama ditambah dengan promosi dan kempen menerusi media sosial seperti Instagram Facebook TikTok dan Youtube untuk memancing pengundi baharu.

“Lebih 10 juta pengundi baharu akan keluar mengundi untuk PRU15 nanti dan mereka perlukan calon baharu dengan ideologi politik yang segar bagi membawakan tranformasi dan perubahan kepada pembangunan setempat,” katanya dalam satu sesi temu bual yang diadakan secara dalam talian.

Tambahnya, perkara itu dapat dibuktikan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor serta sebahagian kawasan di Sabah dan Sarawak apabila calon baharu yang ditempatkan oleh BN dipilih dan mendapat sokongan penduduk setempat.

Mengulas lanjut, beliau menyarankan agar orang lama dalam parti perlu menjadi mentor kepada wajah baharu atau bakal wakil rakyat yang akan bertanding dalam PRU yang akan datang.

Formula yang diumumkan itu juga akan memberikan tentangan hebat buat parti lain memandangkan pelaksanaan undi18 yang bakal dilihat dalam PRU15.

“Pada pandangan saya, BN masih mendapat tempat di kawasan luar bandar dan itu adalah hakikatnya.

“Menurut statistik, sebahagian mereka yang tinggal di luar bandar kemungkinan akan mengundi BN. Bagaimanapun, perkara itu tidak boleh menjadi titik ukur apabila sebahagian kawasan bandar juga mendapat kemenangan besar oleh parti itu,” jelasnya.

Mengambil contoh kemenangan BN di Melaka dalam PRN tahun lalu, tidak mustahil bandar besar seperti Shah Alam, Bangi dan Johor Bahru akan ditawan kembali oleh parti itu.

Ujarnya, kemenangan itu bergantung kepada teknik dan taktik serta strategi BN untuk bertempur dalam PRU yang mungkin diadakan bulan hadapan.

Bercakap mengenai pandemik yang melanda negara lebih dua tahun lalu, “rakyat menyaksikan individu yang telah melaksanakan tugas membantu masyarakat setempat dan boleh diundi sekiranya PRU diadakan.”

Oleh itu, parti politik perlu lebih bijak meletakkan calon tempatan untuk bertanding berbanding membawa masuk nama-nama lain ke sesuatu kawasan.

Perkara itu semestinya akan mendapat tentangan oleh masyarakat setempat dan membawa kepada kekalahan.

Loading...
Terkini