comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Lelaki turunkan bendera PH atas arahan parti

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan lelaki dikatakan menurunkan bendera parti Pakatan Harapan (PH) di hadapan Muzium Negara, melakukannya atas arahan parti.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata lelaki menurunkan bendera itu adalah ejen pemantau PH dan bertindak menurunkan bendera berdasarkan arahan.

“Arahan itu dikeluarkan Ketua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP KPR) P121-01, bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) PP KPR Lembah Pantai.

“Arahan ini juga dikeluarkan selepas perbincangan dibuat dengan wakil calon kerana pemasangan bendera itu menutup pagar bahagian hadapan Muzium Negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu tular video berdurasi 34 saat memaparkan seorang lelaki sedang menurunkan bendera PH yang mana pada masa sama seorang individu merakam dan menyebarkannya di media sosial tanpa bertanyakan tujuan lelaki itu.

Beliau berkata, Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan sebarang video atau apa-apa maklumat sebelum membuat semakan kesahihannya.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam. Orang ramai juga diingatkan tidak melakukan perbuatan bercanggah undang-undang dan peraturan bagi memelihara keamanan sepanjang tempoh berkempen,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini