MELAKA: Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri ini adalah muka baharu.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ia termasuk calon UMNO di semua empat kerusi Parlimen iaitu Jasin, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu dan Masjid Tanah, selain Kota Melaka dan Alor Gajah yang akan diwakili oleh calon MCA.
“Semua calon BN di Melaka adalah muka baharu, termasuk di Jasin selepas penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Hamzah yang sudah menyatakan hasrat untuk tidak mahu dicalonkan pada PRU kali ini.
“Saya yakin, menerusi penampilan muka baharu ini akan memberi motivasi terbaik kepada jentera dan pengundi untuk memastikan kemenangan milik BN,” katanya kepada BH hari ini.
Minggu lalu, Ahmad, 74, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 mengumumkan untuk menarik diri daripada dicalonkan semula pada PRU-15.
Penyandang kerusi Parlimen Jasin itu dilaporkan berkata, langkah terbabit untuk memberi peluang kepada muka baharu sebagai calon mewakili BN di kerusi berkenaan.
“Memang sudah sampai masanya (saya berundur) kerana setiap yang bermula pasti akan berakhir. Walaupun saya seronok untuk bekerja demi rakyat, tapi saya rasa masa ini adalah paling tepat untuk saya berundur.
“Kita beri peluang kepada golongan muda yang lebih bertenaga untuk diangkat sebagai calon,” katanya. – BERITA HARIAN