
JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor akan membuat persiapan lebih agresif bagi mengelakkan ‘undi silang’ pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) .
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata undi silang merujuk kepada pengundi mengundi calon selain BN selepas mereka memberi kemenangan selesa dan mengundi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.
Bagi mengelakkan undi silang berlaku, BN Johor katanya, sudah menyusun pendekatan dan strategi kempen lebih berkesan serta proaktif terutama di media sosial selain menemui pengundi bagi memberi penjelasan serta menangkis tohmahan pembangkang.
“BN Johor ketika ini sudah menggerakkan jentera penerangan kita terutama di media sosial selain akan mengadakan perjumpaan santai bagi memberi penerangan kepada masyarakat mengenai perkembangan isu semasa di akar umbi.
“Masyarakat perlu diberi pemahaman sejelas-jelasnya mengenai isu semasa bagi menangkis tohmahan yang disebarkan pembangkang terutama di media sosial.
“BN Johor tidak mahu ‘undi silang’ berlaku iaitu mereka kata kita (pengundi) dah beri undi pada BN Johor pada PRN lalu dan masa PRU-15 nak undi calon parti lain pula sebagai alternatif di peringkat Persekutuan.
“Ini tidak boleh berlaku kerana jika kita leka ia membahayakan BN kerana kita boleh kehilangan sasaran kerusi Parlimen. Oleh itu, BN Johor akan menggunakan pendekatan kempen lebih agresif kali ini berbanding PRN lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra dan taklimat media sempena PRU-15, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Dr Adham yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, berkata semua 26 ketua penerangan bahagian BN negeri itu juga sudah dipersiapkan dengan strategi lebih ampuh supaya pengundi terus setia dengan parti itu.
Katanya, persediaan dibuat termasuk memastikan maklumat isu semasa termasuk menangkis serangan pembangkang lebih relevan dan terkini selain cepat disebarkan kepada akar umbi.
Sementara itu, ujarnya BN Johor akan melancarkan manifestonya bagi PRU-15 pada 2 November ini di Stadium Educity, Iskandar Puteri.
“Keesokannya pula, pada 3 November, BN Johor akan membuat pengumuman rasmi kesemua 26 calon yang akan dipertandingkan pada PRU-15,” katanya.- BULETIN TV3