Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedia untuk mempertimbangkan kerjasama politik dengan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, setakat ini tiada pihak menghubunginya bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Saya kurang pasti sama ada serius atau tidak cadangan itu lagipun kita sudah berada dalam fasa persiapan. Awal dahulu pun pernah bincang, lepas itu tak jadi apa.
“Kita bersedia mempertimbangkan dan ia perlu dibawa ke Majlis Tertinggi untuk diputuskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial, di sini hari ini.
Selasa lalu, Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertimbangkan untuk menjalinkan kerjasama dengan parti-parti politik ‘sebulu’ dengan parti itu bagi menentang UMNO pada PRU15.
Langkah tersebut katanya untuk menyelamatkan negara daripada pemerintahan UMNO.
Cadangan kerjasama itu bukan kali pertama kerana pada Mac lalu, Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) turut dilaporkan berkata bersedia bekerjasama dengan parti lain yang ‘sebulu’ untuk membentuk kerajaan negeri Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pada masa sama, Tan Sri Muhyiddin berkata, Perikatan Nasional (PN) dianggotai BERSATU, PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) secara keseluruhannya bersiap sedia menghadapi PRU15.
“Kita sudah siap sedia,” katanya.
Ditanya adakah PN sudah memuktamadkan calon PRU15, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata: “Simpan dahulu soalan itu.”