Tumpuan :
Politik

PRU Padang Serai: PH-BN bentuk ‘Kerajaan Zina’, tidak direstui ahli – Azman Nasrudin

Oleh Kumaran Rajamoney

KULIM: Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu memenangi kerusi Parlimen Padang Serai, mengulangi kejayaan di 13 kerusi parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Calon PN, Datuk Azman Nasrudin yakin akan ada isyarat jelas penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang disifatkannya sebagai ‘Kerajaan Zina’.

“Kita akur kerajaan ini dibentuk atas nasihat Yang Di-Pertuan Agong, namun mereka tidak berpegang kepada prinsip yang dibawa parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkhinati pengundi mereka.

“Ahli BN dan PH telah ditipu, mana pergi terma “No Anwar, No DAP”, rasuah dan kelptokrat? Ini adalah ‘perkahwinan’ yang tidak direstui ahli dan pimpinan di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui pada siri kempen ceramah di sini, malam tadi.

Azman yakin kekecewaaan ahli dan pimpinan bawahan parti lawan akan memanfaatkan mengekalkan momentum sokongan kepada PN.

“Di Kedah, BN tiada satu pun kerusi, PH menang di Sungai Petani dengan majoriti yang jauh lebih rendah, Insyallah Padang Serai akan membawa kemenangan kepada PN dengan majoriti yang tinggi.

“Kita akan kerja keras keluar seramai mungkin pengundi agar capai sekurang-kurangnya 80 peratus bagi membolehkan kita beri mesej kepada kerajaan bahawa orang Melayu dah buat perubahan,” katanya.

Sekiranya menang, Azman yang juga Exco kerajaan negeri akan fokus kepada khidmatnya sebagai Ahli Parlimen dan tidak lagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lunas.

Loading...
Terkini