Tumpuan :
Politik

PRU-15 : Warisan perhalusi semua aspek mahu sertai blok kerajaan mana yang bawa kestabilan

Sidang media Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong bersama barisan tertinggi kepimpinan parti.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Parti Warisan akan perhalusi semua aspek dengan blok parti mana kerjasama wajar diberikan selepas tiada parti yang menang majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata walaupun hanya memenangi tiga kerusi parlimen di Sabah namun angka itu sedikit sebanyak diharap dapat menambah kestabilan pembentukan kerajaan yang memerlukan sokongan dari parti itu.

“Bila nak bincang tentang perkara itu bukan kita lihat blok sana blok sini tapi kepentingan yang pertama Sabah keduanya yang kita katakan Blok Borneo yang ada kalau kita lihat dari segi kita punya jumlah kecil sahaja.” Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Warisan Kolombong.

Sejak semalam hingga pagi tadi, Datuk Seri Shafie berkata beliau menerima panggilan telefon dari beberapa pemimpin utama parti. Namun apapun keputusan yang akan diputuskan ianya bersandarkan kepada keutamaan pembentukan kerajaan yang stabil, realistik, pragmatik, dinamik dan releven untuk masa depan negeri Sabah malah termasuk pentadbiran negara untuk tempoh lima tahun mendatang.

Bercakap mengenai kekalahan parti itu di beberapa kerusi parlimen yang dipertandingkan beliau bersama kepimpinan tertinggi akan membuat “post mortem” dalam masa sama akur dan menghormati mandat rakyat kerana keputusan itu adalah pilihan rakyat.

Tsunami atau angin perubahan kemenangan politik yang banyak berpihak kepada Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional di semenanjung pada PRU15 juga ujarnya bukti ia adalah pilihan rakyat sendiri yang mahukan masa depan negara lebih baik dan stabil.

Ditanya adakah beliau akan meneruskan legasi Warisan di semenanjung meskipun kalah di semua kerusi yang dipertandingkan, ujar Datuk Seri Shafie pengaruh parti itu memerlukan masa dan akan meneruskan pengaruh parti itu di Semenanjung. Ia bagi tujuan merapatkan hubungan masyarakat dan politik antara Sabah, borneo dengan Semenanjung.

Daripada 25 jumlah kerusi parlimen di Sabah, Warisan hanya menang tiga kerusi pada PRU15 semalam. Manakala satu kerusi di Labuan dan 26 kerusi di Semenanjung yang dipertaruhkan semuanya tewas.

Tiga kerusi terbabit yang menang ialah Semporna yang dipertahankan Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kerusi Lahad Datu yang dimenangi adiknya, Datuk Mohd Yusof Apdal dan kerusi Parlimen Kota Belud yang dipertahankan Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis.

Pada PRU14 pada 2018, Warisan memenangi lapan kerusi Parlimen di Sabah iaitu Semporna, Lahad Datu, Kalabakan, Papar, Penampang, Sepanggar, Kota Belud dan Batu Sapi.

Loading...
Terkini