comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Undi 10,000 orang Asli penentu Kerusi Parlimen Gua Musang.

Calon BN Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah

GUA MUSANG : Undi 10,000 penduduk Orang Asli di daerah ini menjadi penentu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Kerusi Parlimen Gua Musang.

Perkara ini diakui penyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah kerana di daerah ini terdiri daripada pengundi pelbagai bangsa termasuk Orang Asli.

Menurut beliau, pendirian masyarakat orang Asli ini sukar digugat dan mereka tetap setia terhadap pemimpin yang dipilih.

Katanya, walaupun pernah berlaku cubaan daripada pihak luar cuba untuk memecah belahkan mereka, namun semua itu usaha yang sia-sia.

“Saya percaya dengan masyarakat Orang Asli. Dia berseloroh pun saya percaya. Sebab diorang tak pernah mungkir janji.

“Dia ni yang benar-benar cakap apa yang dia makna. Ada cuba nak dipecahkan parti lawan misalnya dalam pilihan raya, dia pujuk seorang bertanding. Pecahlah sikit tapi tak banyak bilangan.

“Jadi maknanya penentunya masih orang asli. Bulat kedudukannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kursus Jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Orang Asli di KESEDAR Inn, hari ini.

Tambah beliau lagi jumlah pengundi dari kalangan penduduk Orang Asli ini juga semakin bertambah bilangan mereka.

“Jadi orang asli kalau kita dapat kawal diorang, kalau bersama kita, dia akan menentu siapa menang dalam pilihan raya. Itu sebab saya kata dia undi penentu,” katanya.

Sementara itu, bagi Penghulu Orang Asli Pos Hendrop, Bidi Ronggeng berkata, jasa Penyandang Ahli Parlimen Gua Musang itu selama ini memang tidak dapat dinafikan.

Katanya, Tengku Razaleigh yang mesra dipanggil Ku Li itu sangat menghargai masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

“Banyak jasa Ku Li kepada kami, perjuangan beliau sebagai Ahli Parlimen Gua Musang membolehkan kami masyarakat Orang Asli mendapat pendidik yang lebih baik.

“Selain kemudahan asas yang lebih baik dengan bekalan air dan api yang disediakan. Di pedalam juga sudah dibina rumah yang lebih selesa untuk kami.

“Malah sebelum musim tengkujuh sudah diagihkan bantuan bakul makanan kepada kami di kawasan pedalaman seperti Pos Gob dan Pos Simpor,” katanya.

Loading...
Terkini