Tumpuan :
Politik

PRU-15: Tiga pemimpin muda dijangka jadi taruhan BN Terengganu rampas kerusi Parlimen

 

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Marang, Jasmira Othman.

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) negeri dijangka mempertaruhkan tiga pemimpin muda untuk merampas kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tiga pemimpin muda yang akan dipertaruhkan adalah Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda UMNO Dungun, Norhisham Johari; Timbalan Ketua Bahagian UMNO Marang, Jasmira Othman dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris (Kuala Terengganu).

Desas-desus mengatakan Norhisham akan bertanding bagi merampas kerusi Parlimen Dungun yang kini dikuasai PAS.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Dungun dimenangi PAS apabila calonnya, Wan Hassan Mohd Ramli memenangi kerusi Parlimen dengan majoriti 13,119 undi selepas memperoleh undi berjumlah 40,850 undi.

Wan Hassan yang juga penyandang kerusi Parlimen Dungun menewaskan calon BN, Datuk Din Adam yang memperoleh 27,731 undi dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abd Rahman Yusof, 6,833 undi.

Desas-desus juga mengatakan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Marang, Jasmira Othman turut dipertaruhkan untuk bertanding bagi merampas kerusi Parlimen Marang, yang kini dikuasai PAS.

Kerusi Parlimen Marang kini disandang Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endut dan Zarawi Sulong (PKR) dengan majoriti sebanyak 21,954 undi.

Abdul Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu memperoleh 53,749 undi manakala Mohamad Nor (31,795) dan Zarawi hanya 5,138 undi.

Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu pula disebut-sebut sebagai calon BN untuk bertanding bagi merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang kini disandang oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Pada PRU-14, Ahmad Amzad yang juga penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu memenangi kerusi itu dengan majoriti 14,773 undi, selepas memperoleh 42,988 undi menewaskan calon BN, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang mendapat 28,215 undi dan calon PKR, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Shah yang memperoleh 15,380 undi.

Difahamkan, senarai calon BN yang akan bertanding di lapan kerusi Parlimen di negeri ini akan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.

Loading...
Terkini