BERA: Rakyat dinasihatkan menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), esok, secara tenang dan matang tanpa mencetuskan sebarang suasana tegang.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak perlu menerima pilihan dibuat rakyat dengan hati terbuka walaupun jika keputusan pengundian nanti tidak memihak kepada parti sokongan mereka.
Perdana Menteri menegaskan, kematangan berpolitik dan keharmonian yang ditunjukkan sepanjang tempoh 14 hari berkempen, perlu dikekalkan tanpa provokasi melampau.
“Saya berharap apabila keputusan diumumkan, malam esok, semua pihak boleh menerimanya dengan semangat dan kematangan yang tinggi.
“Terima semua keputusan pilihan raya yang dibuat rakyat nanti tanpa menimbulkan sebarang kekecohan.
“Jangan menimbulkan isu sebagaimana berlaku sebelum ini, seperti dakwaan terdapat pengundi dari Bangladesh, sehingga menimbulkan kekecohan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Bandar 32 di Kemayan, di sini, hari ini.
Ismail Sabri yang juga calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bera, sekali gus menzahirkan perasaan kagum dengan semangat tinggi ditunjukkan semua pihak sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kali ini.
Beliau berkata, kehidupan rakyat akan kembali normal selepas PRU-15 dan perbezaan politik tidak harus menyebabkan hubungan silaturahim tergugat.
Esok adalah hari penentuan untuk lebih 21 juta pengundi memberi mandat dan amanah tampuk pemerintahan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Dengan 222 kerusi Parlimen dipertaruhkan, rakyat bakal memilih pemimpin untuk membentuk kerajaan yang diharapkan mampu menerajui Malaysia dengan baik dan berkesan ke arah lebih gemilang dalam menempuhi cabaran pasca COVID-19 serta ketidaktentuan ekonomi global.
Gabungan parti politik yang berjaya melepasi angka 112 kerusi bakal membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.