Tumpuan :
Politik

PRU-15: Sivarasa, Johari, Maria Chin digugurkan

AMPANG: Penyandang kerusi Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul antara pemimpin PKR yang digugurkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Nama beliau tidak diumumkan pada majlis pengumuman calon-calon PKR di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini malam tadi, namun cabaran untuk memastikan kemenangan PKR di kerusi itu akan diambil alih calon muda yang juga anaknya sendiri, Dr Mohamed Taufiq Johari.

Turut digugurkan dalam PRU kali ini adalah penyandang Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

PKR mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu di Pahang, Lee Chean Chung bagi kerusi Parlimen Petaling Jaya.

Selain itu, penyandang Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa juga diumum tidak bertanding pada PRU kali ini, dengan kerusi itu akan ditandingi Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R Ramanan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pengumuman calon itu turut mengingatkan mana-mana pemimpin yang tidak dinamakan untuk bertanding kali ini supaya ingat perjuangan asal PKR dan jangan khianat dengan parti.

“Dalam proses pemilihan itu, ada yang terpaksa kita gugurkan, terutama beberapanya yang sudah memberi sumbangan. Demikianlah hukum alam, mesti ada peralihan.

“Tidak boleh orang sama kekal (bertanding) sampai bila-bila. Yang tidak mendapat tempat, ingat sumpah keramat kita. Kita berjuang bukan kerana mahu menjadi calon, tapi membela nasib rakyat,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini