comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15 : Shahrir Samad Sahkan Tak Bertanding Kerana Integriti

Shahrir hadir bagi perbicaraan kes gagal mengisytiharkan RM1 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Oktober lalu.

JOHOR BAHRU : Tan Sri Shahrir Samad sekali lagi mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata, beliau akan tetap mengetuai jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN).

Keputusan tidak bertanding itu kerana beliau sedang mempertahankan integriti dan nama baiknya di mahkamah.

Beliau berkata, masih ada yang bertanya sama ada beliau akan bertanding sebagai calon BN pada PRU-15 nanti.

“Saya telahpun beberapa kali menyatakan saya tidak akan bertanding tetapi akan tetap mengetuai jentera pilihan raya BN untuk memenangkan calon kita pada PRU-15.

“Sebabnya mudah sahaja. Saya sedang mempertahankan integriti dan nama baik saya dalam mahkamah.

“Tuduhan yang dihadapi ialah di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan pengubahan wang haram itu saya telah lakukan dengan cara tidak mengisytiharkan penerimaan duit itu sebagai pendapatan saya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Tidak adil bagi saya meminta pengundi JB untuk membersihkan saya. Saya harus membersihkan nama saya dulu melalui proses mahkamah.

Itu sebabnya, tetapi tetap BN,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Shahrir yang juga bekas Pengerusi FELDA, didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada LHDN.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan itu, sudah berjalan sejak 26 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam PRU14, Shahrir antara nama besar BN yang tewas berikutan tsunami politik apabila pengundi beralih kepada Pakatan Harapan (PH).

Di kerusi Parlimen Johor Bahru, beliau tewas kepada calon PKR, Akmal Nasir yang menang dengan majoriti 19,782 undi apabila meraih 50,052 undi. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini