Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Perarakan sambil bergema selawat mengiringi calon yang bakal bertanding di kerusi Parlimen P.125 Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menuju ke Pusat Penamaan Calon bagi menghantar borang pencalonan.
Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, 72 tiba pada jam 8.25 pagi bersama penyokong yang membawa bendera parti dan sepanduk.
Beliau kemudian menyertai perarakan yang disertai kira-kira 500 penyokong, berarak sejauh 100 meter dari Sekolah Kebangsaan Presint 9(2) dan berhenti di penghadang besi sebelum calon, seorang pencadang dan seorang penyokong dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9.
Terdahulu, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin, 45 tiba pada jam 8.05 pagi dan bertemu kira-kira 500 penyokong di ‘pondok panas’ yang ditempatkan.
Turut kedengaran dan saling berlawanan, lagu ‘Inilah Barisan Kita’ dari kedua-dua penyokong.
Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, 47 yang menghidap penyakit ‘spina bifida’ sejak lahir tiba jam 8 pagi dan berarak dengan berkerusi roda bersama kira-kira 100 penyokong, manakala calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Datuk Mohd Rosli Ramli, 64 berkumpul bersama penyokong seawal jam 7.30 pagi.
Lebih menarik pada pilihan raya kali ini, buat julung kali, bukan seorang tetapi dua calon bebas bakal bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Putrajaya iaitu Samsudin Mohamad Fauzi, 46 dan Lim Fice Bee, 44.
Pusat Penamaan Calon di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9 dibuka jam 9 pagi dan ketika ini, calon sedang menghantar borang pencalonan masing-masing. – BULETIN TV3