comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Saya tak akan tinggalkan BN – Noh Omar

Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Tan Sri Noh Omar

TANJONG KARANG: “Walaupun tidak terpilih (sebagai calon), saya tidak akan meninggalkan Barisan Nasional (BN). Inilah prinsip yang dipegang untuk terus kekal setia’.

Itu ditegaskan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera BN P095 Parlimen Tanjong Karang di Padang Astaka, di sini, hari ini.

Noh berkata, beliau tidak akan berganjak daripada terus berjuang menyokong BN.

“Sebagai ahli parti, saya akan terus setia dan kekal bersama dengan perjuangan BN yang selama ini banyak berjasa kepada negara.

“Besar harapan saya untuk melihat calon BN memperoleh kemenangan khususnya di Selangor.

“Insya-Allah, kita cuba yang terbaik dan berusaha memastikan jentera BN sedia dan terus kekal menyokong calon ditampilkan parti,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya adakah beliau akan mengiringi calon BN Parlimen Tanjong Karang, Noh menegaskan beliau akan hadir untuk memberikan sokongan kepada calon itu.

“Walaupun tidak mendapat pas kebenaran masuk ke pusat penamaan calon, saya bertekad untuk bersama jentera memberikan sokongan moral kepada calon.

“Kalau tak dapat masuk dalam dewan pun tak apa, tetapi saya tetap datang beri sokongan. Kalau terpaksa duduk bawah pokok pun lagi senang,” katanya.

Untuk rekod, Noh menyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal sejak PRU-9 pada 1995.

Pada PRU-14, Noh mengalahkan calon BERSATU, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi dan Nor Az Azlan Ahmad mewakili PAS dengan majoriti tipis 1,970.

Bagaimanapun, PRU-15 kali ini menyaksikan kejutan yang dibuat BN untuk Parlimen P095 dengan menampilkan muka baharu iaitu Datuk Habibah Mohd Yusof.

Habibah bakal menentang calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Siti Rahayu Baharin, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (BERSATU) dan Azlan Sani Zawawi (GTA). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini