Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin
JERAI: Pembinaan rumah sampah bukan sahaja mampu membentuk disiplin, malah mentaliti sesebuah masyarakat.
Berbekalkan kos yang rendah, usaha untuk membina tapak pembuangan sampah yang sistematik itu akan dilaksanakan di seluruh Parlimen Jerai.
Sebagai permulaan, Kampung Simpang 3, Sedaka menjadi kampung pertama dibina rumah sampah ini.
Menurut penyandang kerusi Parlimen Jerai, Sabri Azit, usaha untuk membina terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Tempat pembuangan sampah masih lagi terbiar, jadi usaha untuk melakukan satu tempat pembuangan sampah yang tersusun InsyaAllah saya akan lancarkan di seluruh Parlimen Jerai.
“Kos pembinaannya sangat minima dan saya telah pun membinanya di kampung ini untuk melestarikan kebersihan penduduk tempatan,” katanya kepada Buletin TV3.
Ujarnya, menerusi pembinaan rumah sampah ini dapat mengubah sikap masyarakat agar disiplin lebih-lebih lagi membabitkan isu pembuangan sampah dan kebersihan.
Sabri berkata idea ini walaupun kelihatan ringkat namun dapat memberi kesan mendalam ke atas penduduk setempat.
Sementara itu, Sabri yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bakal berdepan saingan tiga penjuru pada PRU-15.
Beliau bakal berdepan Datuk Seri Jamil Khir Baharom dari Barisan Nasional (BN), serta dua calon muka baharu iaitu Zulhazmi Shariff dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Mohd Nizam Mahshar, Gerakan Tanah Air (GTA).