comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Reezal Merican hadapi saingan 4 penjuru di Kepala Batas

Oleh Selwam Arjunan

KEPALA BATAS: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menghadapi saingan empat penjuru dalam hasratnya untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kepala Batas buat penggal ketiga.

Selain beliau, Danial Abdul Majeed dari Pakatan Harapan (PH), Dr Siti Mastura Muhammad dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Pejuang-Gerakan Tanah Air (GTA), Hamidi Abu Hassan turut bertanding di kawasan berkenaan.

Pengawai Pengurus Pilihan Raya, Zulkifli Rashid yang membuat pengumuman rasmi calon berkata pihaknya hanya menerima empat pencalonan dan kesemua pencalonan berkenaan diterima.

Ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon, kesemua calon mahu kempen pilihan raya dilakukan dengan rasa hormati-menghormati satu sama lain dengan mempraktikkan politik matang.

“Bagi saya tiada perkataan lawan sebab ia memberi konotasi perselisihan dan pertembungan. Sebaliknya saya melihat ini sebagai laluan demokrasi yang memberi peluang kepada semua untuk melahirkan aspirasi mereka dan rakyat akan membuat penilaian,” kata Datuk Seri Reezal.

“Malaysia agak ketinggalan dalam memberi ruang kepada golongan muda, misalnya menteri yang baru dilantik di United Kingdom hanya berusia 26 tahun tetapi di sini saya diejek terlalu muda untuk menjadi calon, jadi ini adalah masa untuk suara orang muda kedengaran di Parlimen,” kata Danial Abdul Majeed.

“Saya ingin terus berbakti kepada negara, khususnya dalam proses semang dan imbang melalui proses yang mematangkan demokrasi kita dan menambahbaik pengurusan kerajaan,” ujar Hamidi Abu Hassan yang pernah bertanding di Parlimen Padang Serai sebelum ini.

“Saya bangga kerana PN memilih seorang wanita untuk bertanding di Kepala Batas dan saya berharap ini merupakan titik tolak untuk pembukaan ruang yang lebih luas kepada wanita muda,” kata Dr Siti Mastura.

Datuk Seri Reezal memenangi kerusi Kepala Batas dengan majoriti 4,736 undi dalam pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini