KUALA LUMPUR: Istilah ‘manifesto’ dilihat tidak lagi menjadi pilihan rakyat dalam membuat pertimbangan menyokong calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), dipercayai kerana bimbang janji tidak akan ditunaikan sebagaimana pernah berlaku ketika pentadbiran 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata rakyat kini seolah-olah ‘fobia’ dengan perkataan manifesto selepas ia dikatakan bukan ‘kitab suci’, selain dianggap tidak boleh dipercayai dan sekadar janji politik.
Justeru pada PRU kali ini, beliau berkata, tiga gabungan parti politik tidak menggunakan perkataan manifesto ketika menawarkan senarai janji masing-masing kepada rakyat.
“Satu yang menarik ialah untuk kali pertama dalam pelancaran manifesto parti, mereka tidak menggunakan istilah manifesto. Kali pertama dalam sejarah, parti tidak sebut manifesto. Mereka menggunakan istilah lain.
“Manifesto sudah menjadi perkara ‘memfobiakan’ orang sebab pada PRU-14, PH kuat kerana manifestonya.
“Sebab itu kali ini, PH tidak sebut manifesto tapi Tawaran Harapan, dan Barisan Nasional (BN) pula mengemukakan Pelan Amal dan Usaha (PADU), begitu juga Perikatan Nasional (PN) tidak menggunakan istilah manifesto.
“Perkara ini menjadi fobia orang nak sebut manifesto… sebab selepas itu, orang kata manifesto bukan ‘kitab suci’, tidak boleh dipercayai, hanya janji politik dan tidak boleh pakai sangat. Perkataan manifesto ini dilabel sebagai sangat teruk,” katanya pada program Podcast BH Sembang Keras dengan tajuk ‘Apa Kelebihan, Realiti atau Fantasi?’ di Balai Berita.
Yang turut menjadi ahli panel program itu ialah calon kerusi Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil daripada PH. Program dikendalikan wartawan BH, Ahmad Suhael Adnan.
Ahmad Shabery menegaskan, perkataan manifesto sudah ‘dikotori’ kesan pilihan raya lalu selepas kerajaan yang memenangi pilihan raya tidak menunaikannya sedangkan kepercayaan pengundi ketika itu adalah berdasarkan manifesto yang dikemukakan.
Kini, beliau berkata, wujud persoalan mengenai kebolehpercayaan sama ada manifesto pilihan raya boleh ditunaikan atau tidak.
“Sehebat mana pun janji itu, wujud persoalan sama ada manifesto berkenaan boleh dipercayai atau tidak. Saya rasa isu dihadapi parti politik kini adalah soal kebolehpercayaan rakyat mengenai janji PRU, siapa dan apa yang dijanjikan,” katanya.
Beliau yang terbabit dalam merangka manifesto BN, menjelaskan penawaran PADU adalah bersandarkan spektrum lebih luas dengan memandang masa depan berasaskan kesinambungan pembangunan yang terdahulu.
“Diakui BN memang ada kelemahan tetapi masih ada legasi dalam pembangunan negara, dan perkara itu perlu diteruskan sebagai kesinambungan selepas ia terhenti apabila PH menjadi kerajaan dulu,” katanya.
Sementara itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH dan penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai pula berkata, tawaran dalam manifesto PH dikenali sebagai Tawaran Harapan pada PRU-15 lebih realistik dan mampu dilaksanakan jika mereka dipilih rakyat.
Beliau berkata, ini kerana tawaran berkenaan mengambil kira pengalaman kepemimpinan gabungan itu ketika berada dalam kerajaan.
“Barisan kepemimpinan kita ada yang pernah menjadi Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Menteri serta Menteri Besar. Pengalaman itu mendewasakan yang mana PH lebih memahami dasar dan mengetahui mekanisme untuk melaksanakannya.
“Sebelum ini, barisan kepemimpinan yang ada dalam PH ketika itu, tiada pengalaman dan masa yang sepatutnya lima tahun dipendekkan menjadi tidak sampai dua tahun (22 bulan)… maka banyak tidak dapat diselesaikan dan terbantut.
“Seperti yang saya katakan awal tadi, tawaran kali ini adalah seperti tawaran kita dalam tender terbuka untuk membina sebuah rumah bernama ‘Malaysia’.
“Ketika kami mengambil alih dulu, apa yang diterima lebih daripada apa yang kami jangkakan …waktu untuk menterjemah Buku Harapan (manifesto PRU-14) memerlukan masa tetapi tidak sempat dilaksanakan. Semua perlu bersikap adil kepada PH berdasarkan situasi dihadapinya ketika itu.
“Justeru, 39 perkara yang PH tawarkan kali ini memang dirangka dalam format berdasarkan pengalaman lalu dan insya-Allah, ia boleh dilakukan dan realistik,” katanya. – BERITA HARIAN