Tumpuan :
Politik

PRU-15: Rahman gagal singkir Isnaraissah di Kota Belud

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menghadiri Himpunan Anak Muda di Kampung Keguraan, Kota Belud. – Foto: NSTP

KOTA BELUD: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan gagal merampas kerusi Kota Belud daripada penyandangnya, Isnaraissah Munirah Majilis dari Warisan selepas tewas dengan majoriti 4,582 undi.

Abdul Rahman yang memenangi kerusi itu dalam PRU-13 pada 2013 mendapat 20,566 undi berbanding 25,148 undi yang diperoleh Munirah.

Seorang lagi calon yang turut tewas dalam pertandingan tiga penjuru itu adalah Madeli @ Modily Bangali dari Pakatan Harapan (PH) selepas meraih 8,323 undi.

Pada PRU-14, Abdul Rahman tewas ditangan calon WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman bagi perebutan kerusi Sepanggar.

Ketika ditemui, Abdul Rahman berkata beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan berpuas hati kerana sudah berusaha memenangi hati penduduk Kota Belud, namun majoriti menolaknya.

“Kalah atau menang itu adalah adat pertandingan. Saya sudah memberi tawaran terbaik untuk penduduk Kota Belud, namun mereka menolak semua itu,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Munirah kerana kejayaannya mempertahankan kedudukan di kerusi berkenaan.

Beliau berharap daerah Kota Belud akan mengalami perubahan ketara sepanjang tempoh pentadbiran wakil rakyat berkenaan.

Loading...
Terkini