KUALA TERENGGANU: Membakar bendera parti antara enam kertas siasatan dibuka polis Terengganu dalam tempoh 12 hari berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Urus Setia PRU-15 Kontinjen Terengganu, Superintendan Mohd Aluwi Husain, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan beberapa kes berkait PRU bermula hari pertama kempen sehingga 16 November.
Menurutnya, antara kes dilaporkan membabitkan membakar bendera parti, kain rentang menghina calon bertanding, menconteng kain rentang dan kehilangan kain rentang.
“Selepas menerima laporan kes di Kuala Jengai, Dungun, tangkapan dilakukan membabitkan kes membakar bendera parti dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
“Tangkapan juga dibuat di Kemaman yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Aluwi berkata, dalam tempoh 12 hari berkempen juga, sebanyak 711 permohonan ceramah membabitkan parti bertanding diluluskan.
Menurutnya, pihaknya juga terus memantau aktiviti kempen calon dan parti bertanding di setiap daerah dengan mensasarkan lawatan ke markas parti bertanding.
“Kita mengingatkan sekali lagi supaya semua penyokong parti bertanding menjaga batas dan kelakuan tanpa melakukan provokasi menjelang hari pengundian, esok.
“Sehingga kini, lima kawasan Parlimen iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu kekal tanpa sebarang insiden dan berharap kekal sehingga hari mengundi, esok,” katanya.