Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menumpukan kepimpinan utama parti itu bagi merebut kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Mendahului senarai, Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih bagi mempertahankan kerusi yang disandangnya di Parlimen Langkawi.
Turut kekal, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung, Datuk Amiruddin Hamzah masing-masing di Jerlun dan Kubang Pasu.
Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dinamakan sebagai wakil parti itu bagi kerusi Parlimen Sungai Petani.
Turut membuat penampilan adalah Ketua Penerangan, Ulya Aqamah Husamudin yang dipilih bagi mewakili parti itu di Parlimen Kuala Kedah.
Selain lima kerusi itu, Pejuang akan turut diwakili Razali Lebai Salleh di parlimen Padang Terap dan Mohamad Nuhairi Rahmat di Parlimen Alor Setar.
Gagasan Bangsa mewakilkan calonnya di kerusi Parlimen Pendang (Abdul Rashid Yop), Jerai (Mohd Nizam Mashar), dan Kulim-Bandar Baharu (Mohamad Yusrizal Yusoff).
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mewakilkan calonnya di Baling (Basir Abd Rahman) dan Padang Serai (Hamzah Abd Rahman).
Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) pula mencalonkan Mohamed Mosin Abdul razak bagi bertanding di kerusi Parlimen Merbok.
Mewakili Gerakan Tanah Air (GTA), parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kedah akan turut menggunakan logo Pejuang pada PRU-15 .
ENDS/