Tumpuan :
Politik

PRU-15: ‘Petani Moden’ MUDA bakal menentang Maximus Ongkili

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz mengumumkan Shahrizal Denci
Sebagai calon MUDA di Parlimen Kota Marudu.

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) parti gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) mengumumkan wakil tunggalnya di Sabah untuk bertanding di kerusi P.168 Kota Marudu.

‘Petani Moden’ Shahrizal Denci dijangka bakal menentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz pada sidang media di pengumuman Calon Muda Sabah Pilihan Raya Umum (PRU-15) di pejabat utama Parti Muda Sabah.

Pengasas MUDA dan Naib Presiden MUDA yang juga dikenali sebagai ‘Petani Moden’, Shahrizal Denci berkata walaupun berasal dari Ranau, beliau berhasrat bertanding di kawasan itu bagi membela nasib penduduk.

Amira Aisya yang juga Timbalan Presiden Pengarah Pilihan Raya MUDA berkata MUDA bersedia menyahut cabaran PRU-15 buat kali kedua meletakkan calon untuk kerusi Parlimen di Sabah.

“Bagi negeri Sabah sekali lagi MUDA negeri Sabah menyahut cabaran untuk berentap dengan salah seirang ahli politik yang antara paling lama pernah berkhidmat dalam landskap politik Malaysia,” katanya.

Jelas Amira, pencalonan Shahrizal Denci dibuat selaras dengan kuasa autonomi kepada pimpinan MUDA Sabah untuk memilih dan menghantar calon di Wilayah Sabah bagi mengiktiraf peranan dan kepentingan Wilayah Sabah dalam struktur kepimpinan MUDA

Selain Datuk Seri Dr Maximus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan bekas Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding dari parti WARISAN dinamakan sebagai calon parti masing-masing untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu yang disandang Datuk Seri Dr. Maximus sejak 1995.

Loading...
Terkini